fbpx

Suami isteri kayuh basikal dari Jerman ke Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri, Julia dan Tilman Schollnhammer mengembara dari Jerman ke Arab Saudi dengan mengayuh basikal. - Foto Al Arabiya

RIYADH – Sepasang suami isteri yang ‘melepaskan segala-galanya’ di negara asal mereka, Jerman memilih untuk mengayuh basikal merentasi Arab Saudi dalam bulan kesembilan ekspedisi mereka, lapor portal berita Al Arabiya.

Pencinta alam sekitar, Julia dan suami, Tilmann Schollnhammer berikrar untuk mengembara tanpa menaiki kapal terbang dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon sekali gus merealisasikan impian mereka untuk melihat dunia.

Mengembara hanya dengan berbasikal dan sekali sekala menaiki feri, pasangan itu membawa segala yang mereka perlukan untuk menyara diri, termasuk makanan seperti nasi, sayuran dan minuman ringan bagi menambah tenaga selain menghabiskan kebanyakan malam dengan berkhemah.

Sepanjang berbasikal, mereka melintasi padang pasir, menghadapi hujan, terperangkap dalam lumpur dan ribut petir selain menyaksikan protes di Iran susulan kematian Mahsa Amini. Gadis itu meninggal dunia ketika dalam tahanan polis kerana tidak memakai hijab dengan betul.

Perjalanan pasangan suami isteri itu bermula di Hessen, tengah Jerman pada April lalu selepas mereka membuat keputusan bahawa perubahan perlu dilakukan selepas sekian lama bekerja untuk pihak berkuasa perlindungan alam sekitar Jerman.

Ketika mengemas barangan di sebuah stor di Jerman, Tilmann menjumpai lukisannya semasa kecil yang menggambarkan impiannya mengembara ke seluruh dunia dengan perahu layar buatan sendiri.

Rasa malu menghalang lelaki tersebut daripada melakukan pengembaraan ke luar negara sebagai seorang dewasa dan dia terlepas beberapa peluang untuk melancong semasa di sekolah dan universiti.

“Saya sentiasa berminat untuk meneroka sesuatu. Namun, sebagai seorang kanak-kanak dan semasa remaja hingga ke usia dewasa, saya sangat pemalu. Saya tidak pernah berani melakukan apa-apa,” katanya di sebuah kafe di Riyadh baru-baru ini.

Bermula dari Jerman, mereka menuju ke Austria, Slovakia, Hungary, Croatia, rantau Balkan, Greece, Turkiye, Georgia, Armenia dan Iran sebelum menaiki feri ke Emiriah Arab Bersatu dan tiba di Arab Saudi. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI