Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Pengurusan isu kanak-kanak khususnya dalam kes penderaan tetap dilaksanakan seperti biasa walaupun berhadapan kekangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pengurusan kes kanak-kanak tersebut adalah mengikut garis panduan pencegahan penularan Covid-19 yang telah ditetapkan.
“Bagi perkhidmatan kanak-kanak, kita juga telah banyak mempromosi penggunan talian Kasih 15999 dan telekaunseling.
“Oleh demikian saya mengambil peluang menyeru ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga untuk menghadapi masalah tekanan menguruskan anak-anak bersama berkongsi rasa bagi mencari solusi bagi mengelakkan tindakan luar kawal terhadap terhadap kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 menerusi rakaman video berdurasi 44 minit yang ditayangkan menerusi Facebook Live Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rina berkata, julung kali sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan berlangsung secara maya dengan pelbagai program dan acara dijalankan bermula 15 Ogos hingga 31 Oktober.
“Pelaksanaan sambutan Hari Kanak-Kanak tahun ini berlangsung dalam suasana agak berbeza dengan mengamalkan norma baharu memandangkan negara masih berjuang dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya.
Menerusi sambutan tahun ini, ia bertemakan Bumi Lestari: Kanak-Kanak Dilindungi diselari dengan Hari Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa iaitu Climate Change: For Children, by Children.
Tema itu merupakan suatu manifestasi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat Malaysia untuk bersama berganding bahu memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak pada hari ini dan masa hadapan. – K! ONLINE