Oleh KHAIRUL MOHD ALI
PASIR GUDANG – Kecekapan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dalam menyelesaikan kemelut komuniti setempat menerima pujian masyarakat berbilang kaum.
Pengusaha Pusat Tuisyen Intelek Jaya, M. Jayanthi, 51, dan suaminya, C. Prabhakaran, 60, menzahirkan perkara itu dengan mengumpul tandatangan kira-kira 50 penduduk kawasan kediaman mereka di Taman Kota Masai, di sini.
Menurut Jayanthi, inisiatif itu bukan pertama kali digerakkan mereka sebaliknya ini merupakan kali ketiga.
“Mewakili penduduk di kediaman kami, saya dan suami amat berterima kasih kepada pegawai dan anggota JSJ IPD Seri Alam kerana kecekapan mereka dalam menjalankan tugas.
“Mereka berkhidmat dengan sepenuh hati dalam memastikan masyarakat berbilang kaum di negara ini dapat sentiasa hidup dengan aman dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di pusat tuisyen mereka di Taman Mawar di sini hari ini.
Tambah guru itu lagi, pihaknya berharap masyarakat akan terus memberi sokongan kepada anggota keselamatan negara atas jasa dan pengorbanan mereka. – K! ONLINE