PETALING JAYA – Pihak polis meminta mangsa dan saksi untuk tampil memberi maklumat berhubung isu tular pembuli jalanan memberhentikan kenderaan dan mengeluarkan sebatang rotan panjang dalam kejadian di Jalan SS 8/2 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan kejadian itu berkata, ia berlaku kira-kira 10 pagi di lokasi berkenaan.
“Semalam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah megesan satu video berdurasi dua minit 20 saat yang tular di aplikasi Twitter milik akaun (@zabedabedoo) yang telah menerima tontonan sebanyak 1.8 juta orang dan dikongsi seramai 8,968 orang.
“Video berkenaan mengenai tindakan pemandu berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan dan mengeluarkan sebatang rotan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE