JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub ‘berjanji’ untuk menyelesaikan masalah lif yang kerap rosak di kawasan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini yang telah membelenggu penduduknya sejak tujuh tahun lalu.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bagi mendapatkan peruntukan tambahan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan turut mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Kerajaan Johor Bahagian Perumahan bagi menyelesaikan masalah berkenaan, segera.
“Sejak memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, saya banyak menerima aduan penduduk PPR ini tentang masalah dihadapi mereka dan saya sudah berjanji untuk datang melawat, jadi hari ini saya datang.
“Berdasarkan tinjauan, masalah paling besar dihadapi penduduk adalah lif yang bermasalah dan kerap rosak. Daripada tiga blok kediaman dengan sembilan lif, hanya tiga atau empat yang boleh digunakan ketika ini.
“Ini pastinya menimbulkan masalah besar kepada ribuan penduduk yang menghuni kediaman ini, khususnya warga emas, golongan OKU (orang kurang upaya) dan juga kanak-kanak terutamanya pada waktu puncak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong.
Tambah Salahuddin, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kor Ming bagi mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk mengatasi masalah tersebut kerana menyedari kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan.
“Kami peka dan ambil tanggungjawab untuk memastikan masalah ini dapat diatasi dengan segera kerana ia sudah berlarutan sekian lama. Jadi saya akan bertemu dengan menteri KPKT dan serahkan surat permohonan peruntukan secara rasmi kepada beliau dalam sesi Parlimen akan datang,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE