DUNGUN – Polis Terengganu bercadang mengalihkan Balai Polis Kuala Jengai, Hulu Dungun di sini yang sering ditenggelami banjir pada musim tengkujuh saban tahun.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, balai polis yang beroperasi sebelum kemerdekaan negara itu merupakan antara balai polis paling kritikal dan perlu diberi perhatian di negeri ini.
“Setiap tahun Balai Polis Kuala Jengai akan ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.
“Sebelum ini, ia turut terjejas dalam banjir besar pada akhir Februari lalu dan tidak sampai enam bulan selepas kerosakan dibaiki, balai polis sama ditenggelami air semula,” katanya selepas meninjau kerosakan Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.
Rohaimi berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas cadangan kepada Bukit Aman agar balai polis itu dialih ke lokasi lain yang lebih selamat.
Tambah beliau, alternatif lain ialah membina semula bangunan balai polis secara bertingkat di tapak asal.
“Kami berpendapat kos pembinaan semula balai polis ini lebih menjimatkan berbanding membaiki kerosakan akibat banjir setiap tahun.
“Selain ditenggelami banjir, hubungan komunikasi balai polis itu dengan ibu pejabat polis daerah dan kontinjen negeri sering terganggu akibat bekalan elektrik diputuskan sepanjang tempoh bencana,” katanya. – KOSMO! ONLINE