KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menurun hari ini apabila seramai 17,298 mangsa masih berlindung di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 23,189 mangsa di 64 PPS petang semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 5,891 mangsa.
Menurutnya, daripada jumlah itu, ia melibatkan 5,769 buah keluarga dan ia menunjukkan penurunan berbanding 7,320 keluarga semalam.
“Semua PPS di Kuala Krai dan Machang ditutup semalam manakala di Kota Bharu pula ditutup sepenuhnya hari ini.
“Pasir Mas masih kekal daerah yang paling ramai mangsa terjejas banjir apabila melibatkan seramai 12,066 mangsa diikuti Tumpat (3,886 mangsa), Pasir Puteh (690 mangsa), Bachok (552 mangsa) dan Tanah Merah (104 mangsa),” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Mohd. Hanif, Gua Musang masih tiada mangsa banjir dicatatkan setakat ini.
Tambahnya, semua sungai-sungai utama di Kelantan menunjukkan bacaan menurun, namun Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu masih berada pada paras bahaya. – KOSMO! ONLINE