fbpx

Penghantar makanan dicekup gagal ragut tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang ditahan selepas gagal meragut di tepi Jalan Sultan Abdul Samad, Banting, Kuala Langat, Selangor.

KUALA LANGAT – Cubaan nekad seorang penghantar makanan meragut rantai leher bukan saja digagalkan mangsa malah turut dicekup polis di tepi Jalan Sultan Abdul Samad, Banting di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.50 tengah hari itu melibatkan suspek lelaki berusia 27 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd. Sufian Amin berkata, suspek pada awalnya meragut rantai milik seorang lelaki sebelum cuba meloloskan diri dengan motosikal tersebut.

Rantai leher mangsa yang diragut suspek.

Kata beliau, mangsa bagaimanapun berjaya menarik tangan suspek yang kemudian hilang kawalan lalu melanggar sebuah kenderaan di lokasi kejadian.

“Mangsa menahan dan merampas semula rantai leher miliknya daripada suspek.

“Dia kemudian menghubungi polis lalu menyerahkan tangkapan dan rampasan bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Sufian, semakan pihaknya mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan dengan membawa lari harta mangsa.

“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI