KUALA LUMPUR – Masalah brek sebuah treler dipercayai menjadi punca kemalangan lima buah kenderaan di Kilometer (KM) 43, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari itu, treler membawa muatan besi yang mengalami masalah brek hilang kawalan dan melanggar sebuah treler membawa kontena di hadapannya.
“Akibat rempuhan itu, treler tersebut melanggar pula sebuah kereta jenis Toyota Vios, Honda Civic dan Naza Citra.
“Treler tersebut kemudiannya terbabas dan muatan yang dibawa bertaburan atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kemalangan itu, seorang pemandu treler membawa kontena cedera ringan manakala pemandu-pemandu lain tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Aliran trafik sesak di laluan menuju ke arah Bentong, namun keadaan kembali terkawal setelah semua kenderaan yang terbabit kemalangan dialihkan.
“Lokasi tersebut sering berlaku kemalangan, saya harap pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan memastikan kenderaan sentiasa diselenggara dan selamat digunakan,” jelasnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE.