fbpx

Tanah runtuh: Bapa lega dapat lihat jasad anak, cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menyampaikan sumbangan peribadinya kepada Seng Fui (tiga dari kiri) sewaktu menziarahi keluarga itu di Taman Machap Indah, Machap Baru, Alor Gajah, Melaka. Pix/AMRAN MULUP

ALOR GAJAH – Keluarga kepada empat beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Tai Seng Fui, 63, berkata, dia amat bersyukur dan lega apabila jasad anaknya, Tai Chang Lin, 35, menantu, Yu Siew Pay, 34, serta dua cucunya, Tai Jing Rou, 4, dan Tai Jing Key, 7, berjaya ditemui pasukan itu.

Katanya, walaupun tragedi itu masih sukar untuk diterima kerana telah meragut empat nyawa keluarganya secara serentak, namun sekurang-kurangnya dia dapat melihat jasad kesemua mereka.

“Saya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anak kelima daripada tujuh beradik ini, saya bukan sahaja kehilangan anak lelaki tetapi juga kehilangan menantu dan cucu.

“Walaupun tidak percaya dengan apa yang terjadi, namun sekurang-kurangnya saya lega apabila kesemua jasad mereka berjaya ditemui oleh pasukan SAR dan untuk itu saya sangat berterima kasih,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Taman Machap Indah, Machap Baru di sini, hari ini.

Seng Fui berkata, anaknya dan Chang Lin merupakan rakan kawan baik dan sememangnya telah merancang untuk bercuti bersama-sama di tapak perkhemahan itu.

“Pada awalnya mereka ingin bercuti dan berkhemah pada Mac lalu, namun tempahan telah penuh jadi mereka menukar tarikh pada Disember ini, tidak sangka pula tragedi ini berlaku,” ujarnya.

Menurutnya, jasad keempat-empat ahli keluarganya telah dibakar di Taman Peringatan Huai En, Jelutong, Batu Berendam, pagi tadi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI