fbpx

Suami maut, isteri cedera parah dalam nahas di NKVE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suami maut, isteri cedera parah kemalangan dengan sebuah kereta di KM 16.7 NKVE, kira-kira pukul 8.30 pagi semalam.

PETALING JAYA – Seorang lelaki meninggal dunia manakala isterinya cedera parah setelah motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 16.7 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) dari Damansara menghala ke Subang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan berhubung kejadian diterima oleh pihaknya sekitar pukul 10.52 pagi.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda FS150FJ dinaiki mangsa datang dari arah sama dengan sebuah kereta jenis Perodua Ativa.

“Setelah melepasi susur keluar Damansara menghala ke Subang, kereta berkenaan difahamkan berada di hadapan motosikal mangsa dan mahu mengubah haluan ke kanan, namun ada lori di laluan kanan.

“Kereta berkenaan masuk semula ke laluan asal dan telah mengakibatkan motosikal hilang kawalan sehingga berlaku pelanggaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 32 dan 38 tahun mengalami cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Penunggang (suami) motosikal terbabit disahkan meninggal dunia hari ini ketika menerima rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya

Sehubungan itu, saksi kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rina Murniza Ibrahim di talian 013-9738580 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI