PETALING JAYA – Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berlangsung mulai 1 hingga 31 Oktober lalu, catatkan kejayaan dengan terimaan deposit berjumlah RM175.8 juta.
Pencapaian tersebut mencatatkan rekod berjumlah 117 peratus berbanding sasaran awal iaitu sebanyak RM150 juta.
Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff berkata, berdasarkan kejayaan luar biasa kutipan deposit Simpan SSPN BMS 2022 yang melebihi sasaran, menunjukkan strategi yang dirangka itu mendapat sokongan padu rakyat Malaysia.
“Program ini merupakan kali kelima dianjurkan sempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun.
“Hal Ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
“Keadaan ekonomi yang mencabar menuntut masyarakat untuk mengamalkan pengurusan kewangan terancang serta perbelanjaan yang berhemah,” katanya.
Justeru itu katanya, pelaksanaan BMS ini adalah antara salah satu pendekatan yang untuk membudayakan sikap menabung dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan bagi melahirkan masyarakat yang celik kewangan.
Program yang telah dilaksanakan secara serentak di 14 negeri ini turut diadakan secara dalam talian di peringkat negeri dan nasional. Pelbagai program dan pertandingan telah berlangsung yang disertai oleh ibu bapa dan anak-anak dari semua lapisan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia di atas komitmen dan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik.
“PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan ibu bapa kepada pinjaman pendidikan.
“PTPTN yakin usaha ini akan disokong semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE