fbpx

Kim Pan-gon mahu ‘tsunami gol’ di Bukit Jalil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAN-GON (kiri) bersama Brendan Gan ketika bercakap pada sidang akhbar menjelang aksi Malaysia dan Laos pada Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. – FAM

SKUAD Harimau Malaya berharap dapat melakukan ‘tsunami’ gol dalam usaha meneruskan momentum kemenangan pada aksi kedua peringkat Kumpulan B saingan Piala AFF 2022 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Sebagai rekod, jentera serangan skuad kebangsaan dilihat agak tumpul pada aksi pembukaan menentang Myanmar pada Rabu lepas selepas hanya meraih kemenangan 1-0 di tempat lawan.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon itu percaya jurang kelebihan gol bakal memainkan peranan penting sekiranya pasukan berharap untuk menduduki carta teratas peringkat Kumpulan B nanti.

Kata Pan-gon, situasi ini di­sebabkan kejayaan pasukan pilihan, Vietnam telah melakar kemenangan bergaya 6-0 ke atas Laos pada Rabu lalu.

“Sasaran kita sudah tentulah untuk melakar kemenangan dan jika mahu berada di kedudukan teratas peringkat kumpulan, jaringan besar perlu dihasilkan kerana buat masa ini kita hanya meraih bekalan satu gol dan Vietnam ada tambahan lima gol.

“Ini bukanlah satu perkara yang mudah dan dalam masa yang sama saya mahu pasukan tetap menghormati Laos kerana mereka pasti tampil dengan semangat lebih tinggi selepas kalah besar pada aksi pertama.

“Saya harap pemain mengekalkan corak permainan mudah dan menyerang dan ia akan menjadi cabaran yang besar memandangkan Laos tidak akan membuka banyak ruang kepada kita.

“Justeru, saya mahu pemain kekal positif dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan untuk memberikan aksi bertenaga buat penyokong di laman sendiri,” kata Pan-gon pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Pan-gon mengakui sudah mula merasai kesukaran kempen Piala AFF buat kali pertama sejak dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya tahun ini kerana jadual padat selain perjalanan jauh yang perlu ditempuh pasukan.

“Ini adalah kejohanan yang sukar kerana kita mempunyai persiapan pendek pada setiap perlawanan dan perlu bergerak dari satu negara ke satu negara dalam tempoh yang singkat.

“Namun, pemain menguruskan situasi ini dengan baik dan mereka sangat profesional serta tahu apa yang perlu dilakukan tidak kira ketika sesi latihan mahupun sesi pemulihan,” katanya.

Selepas aksi bertemu Laos, skuad negara akan terbang ke Vietnam pada Ahad dan akan menentang negara Naga Emas itu di Stadium My Dinh, Selasa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI