WASHINGTON – Lebih 2,200 penerbangan dibatalkan di seluruh Amerika Syarikat (AS) menjelang tengah hari kelmarin ketika ribut musim sejuk, Elliot menjejaskan rancangan perjalanan melalui ancaman tiga serangkai iaitu salji lebat, angin kuat dan suhu sejuk ‘menggigit’.
Sekurang-kurangnya lima negeri AS iaitu Kentucky, Missouri, Oklahoma, Georgia dan Carolina Utara telah melaksanakan pelan kecemasan, manakala negeri-negeri lain akan menyusul sebelum tiupan angin artik paling buruk tiba.
“Salji sekarang turun tidak seperti semasa anda di zaman kanak-kanak. Ini perkara serius (bahaya),” kata Presiden Joe Biden kepada wartawan semasa sesi taklimat White House sambil menggesa orang ramai supaya patuh kepada amaran pihak berkuasa tempatan.
Jarak penglihatan sangat terhad dan keadaan jalan berbahaya dilihat di beberapa kawasan di AS.
Selain pembatalan 2,200 penerbangan setakat pukul 6 pagi (waktu Malaysia), lebih 6,900 penerbangan lain sama ada masuk atau keluar dari AS telah tergendala, demikian menurut laman web pengawasan penerbangan, FlightAware.
Sebahagian besar penerbangan AS yang dibatalkan berlaku di Lapangan Terbang O’Hare, Chicago atau Denver.
Ahli ramalan cuaca Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS), Michael Charnick memuat naik rakaman video di laman Twitter menunjukkan sejumlah pemandu bergelut ketika melalui sebuah lebuh raya di antara Colorado dan Wyoming di mana suhu sejuk mencatat bacaan -40 darjah Celsius.
“Orang awam yang terdedah kepada cuaca sejuk melampau ini berisiko mendapat gigitan fros dalam masa beberapa minit sahaja,” kata NWS dalam amarannya.
Persatuan Automobil Amerika menganggarkan lebih 112 juta orang akan melakukan perjalanan 80 kilometer atau lebih jauh dari kediaman masing-masing bermula dari semalam hingga 2 Januari tahun depan, manakala majoriti daripada mereka menaiki kereta. – AFP