fbpx

Banjir: Sarawak kerah 6,000 anggota penguat kuasa siap siaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kawasan yang terjejas banjir di Sarawak, hari ini.

KUCHING – Kerajaan Sarawak mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka terdiri daripada seramai 1,124 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (1,245 orang), tentera (488 orang), Rela (868 orang), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (1,011 orang), Kementerian Kesihatan Malaysia (423 orang) dan lain-lain agensi seramai 534.

“Kesemua pasukan telah diminta untuk memastikan segala kemudahan dan peralatan bersiap siaga dalam mendepani bencana banjir,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah pihaknya turut mengaktifkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Khas di seluruh Sarawak sebagai pasukan bertindak awal memastikan keselamatan mangsa banjir khususnya di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain itu katanya, pasukan khas itu akan menjadi pengkoordinasi tindak balas sekiranya berlaku banjir di kawasan kampung-kampung di pedalaman.

“Mereka akan menjadi pengkoordinasi supaya mangsa-mangsa dapat berpindah awal ke kawasan yang lebih selamat sebelum ketibaan pasukan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah berkata pihaknya akan memastikan bekalan makanan mencukupi bagi memenuhi keperluan mangsa banjir.

Beliau berkata wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah diarahkan untuk bertanggungjawab terhadap perkara berkenaan.

“Pemimpin atau wakil rakyat GPS mesti sentiasa peka terhadap banjir yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Mereka dikehendaki memantau sama ada bekalan makanan mencukupi atau tidak di kawasan yang terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI