KUALA LUMPUR – Datang mahu membeli komputer riba, namun tidak sangka dapat bawa pulang hadiah utama cabutan bertuah kereta Perodua Ativa 1.0x pada acara Ulang Tahun ke-23 Plaza Low Yat di Bukit Bintang di sini.
Chai Hui Jian, 31, memenangi hadiah tersebut selepas mengisi borang peraduan dibuka bermula 12 hingga 18 Disember lalu pada acara Mega IT Fair diadakan sempena ulang tahun pusat beli-belah teknologi informasi (IT) tersebut.
Hui Jian yang juga jurutera bidang IT berkata, dia menyangka akan memenangi barangan lain seperti gajet berkaitan IT dan bukannya hadiah utama berupa kereta.
“Saya langsung tak sangka akan bawa pulang hadiah kereta. Sebenarnya saya sudah mempunyai kereta sendiri, jadi kereta baharu ini mungkin boleh dihadiahkan kepada bakal isteri.
“Malah, tujuan saya datang ke Plaza Low Yat kerana mahu membeli komputer riba. Saya kemudian mengisi borang cabutan bertuah dan tidak sangka pula nama saya dipanggil untuk cabutan,” katanya ketika ditemui pada penyampaian cabutan bertuah Ulang Tahun ke-23 Plaza Low Yat di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemuda tersebut menyifatkan hadiah kereta yang dimenangi sebagai rezeki kepadanya serta mengucapkan terima kasih kepada Plaza Low Yat menganjurkan acara tersebut kepada orang ramai.
Sementara itu, Pengurus Besar Plaza Low Yat, Elaine Yew berkata, pihaknya merancang menganjurkan lebih banyak acara pada tahun depan sekali gus memberi peluang kepada pelanggan untuk terlibat sama.
“Kami gembira dengan usaha ini memberi manfaat baik kepada pelanggan kita. Ia berbeza dengan tahun lalu dan ini petanda baik yang mana kita dapat mengembalikan penganjuran Mega IT Fair ini,” ujarnya.
Mega IT Fair yang menjadi acara tahunan sebelum ini ditangguhkan penganjurannya susulan pandemik Covid-19.
Pada tahun ini, ia menawarkan hadiah sehingga RM250,000 termasuk hadiah utama kereta Perodua Ativa 1.0x kepada semua pemenang yang mana, pelanggan berbelanja RM200 di Plaza Low Yat berpeluang menyertai cabutan bertuah itu. – KOSMO! ONLINE