fbpx

P. Pinang salur bantuan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KON Yeow (tengah) ketika menyampaikan bantuan kepada penerima ketika Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Huffaz ke-5 Pulau Pinang 2022, di sini hari ini

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu dalam masa terdekat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, namun bentuk dan nilai bantuan belum diputuskan setakat ini.

“Dalam Mesyuarat Exco Pulau Pinang pada Rabu lalu kita ada berbincang mengenainya, secara prinsip kita bersetuju untuk menyalurkan bantuan tetapi nilai dan bentuk bantuan belum ditetapkan.

“Saya dan pegawai kewangan negeri akan putuskan kesemua perkara tersebut dalam masa terdekat sebelum bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Agama Rakyat dan Sumbangan Huffaz ke-5 Pulau Pinang 2022, di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat mengumumkan bantuan segera sebanyak RM100 juta kepada Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir teruk.

Selain Kerajaan Pusat, kerajaan negeri seperti Kedah bersetuju menyumbangkan bantuan kewangan bagi membantu Kelantan dan Terengganu yang dilanda bencana banjir ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, tiada sambutan tahun baru anjuran kerajaan negeri yang akan diadakan pada malam 31 Disember nanti.

“Kerajaan negeri telah lama tidak menganjurkan sambutan tahun baru dan untuk kali ini pun, tiada sambutan tahun baru yang dianjurkan kerajaan negeri.

”Kita cuma ada anjurkan perarakan Cingay yang dijadualkan pada 1 Januari nanti namun ia telah ditunda ke tarikh lain.

“Saya tidak pasti jika ada pihak swasta yang akan menganjurkan sambutan tahun baru secara kecil-kecilan, namun itu saya serahkan kepada mereka untuk putuskan. Di peringkat negeri, memang tidak ada,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan membentuk Jawatankuasa Perundingan seperti di Perak, Kon Yeow berkata, tiada arahan daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri untuk menubuhkan jawatankuasa sedemikian.

“Di peringkat negeri, ia tertakluk kepada negeri itu masing-masing namun tiada salahnya bagi sesebuah negeri itu untuk menubuhkan jawatankuasa tentang cara bekerjasama.

“Bagaimanapun, di Pulau Pinang, kita belum membincangkan penubuhan jawatankuasa itu, malah dalam Mesyuarat Exco pun kita belum bincang mengenai kerjasama antara PH dan BN di peringkat negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI