HULU SELANGOR- Azan dikumandangkan lagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan di lokasi tragedi tanah runtuh, di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, untuk mencari mangsa terakhir yang masih hilang.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Facebook Kementerian Pertahanan pagi tadi.
“Anggota 25 Rejimen Askar Melayu Diraja, Prebet Muhammad Asyraf Ghazali melaungkan azan dan seterusnya membaca doa yang diaminkan oleh anggota bomba dan pasukan penyelamat yang lain.
“Laungan azan sebelum melaksanakan sebarang misi sentiasa dipraktikkan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan ianya merupakan salah satu usaha secara spiritual dalam mendapatkan petunjuk dan keberkatan dari yang Maha Esa,” tulisnya.
Tambahnya lagi, ini merupakan salah satu usaha setelah melaksanakan pelbagai ikhtiar digunakan pasukan SAR bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu kanak-kanak lelaki yang masih hilang.
Setakat tinjauan Kosmo! pada pukul 2.12 petang ini, cuaca dilihat dalam keadaan baik namun masih lagi tiada perkembangan terkini daripada pihak berkuasa.
Sehingga kini, mangsa yang disahkan maut adalah 30 orang, manakala 61 lagi terselamat daripada keseluruhan mangsa yang berjumlah 92 orang. – KOSMO! ONLINE