TANAH MERAH – Laluan Batang Kali – Genting Highlands, Hulu Selangor yang terjejas ekoran insiden tanah runtuh yang berlaku Jumaat lalu dijangka dibuka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, pemantauan masih dijalankan ketika ini sebelum laluan berkenaan dibuka kepada kenderaan lain secara berperingkat.
Menurutnya, pihaknya sedang meneliti dan memantau kawasan tersebut memandangkan masih berlaku pergerakan bawah tanah di situ.
“Berdasarkan alat penggera dipasang, pergerakan bawah tanah masih berlaku iaitu kira-kira dua hingga empat milimeter (mm). Jadi, laluan itu sebenarnya masih tidak selamat.
“Kita berharap jalan berkenaan akan dibuka dalam tempoh seminggu lagi untuk pengguna motosikal. Setakat ini, beri peluang kepada kerajaan memantau dan meneliti pergerakan tanah di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Jambatan Kursial di sini hari ini yang terjejas selepas mengalami runtuhan dan hakisan tebing akibat banjir baru-baru ini.
Dalam pada itu, Alexander berkata, semua pihak perlu memberi peluang kepada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan kerja-kerja penelitian dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa membuka jalan hanya disebabkan desakan. Saya berharap netizen jangan terlalu mendesak kerana kami di JKR sedang melakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan pengguna.
“Jalan itu ditutup bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya. Jadi, kita berharap orang ramai dapat bersabar sehingga laluan berkenaan dibuka semula,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, jalan Batang Kali-Genting Highlands ditutup selama setahun bagi kerja-kerja pemulihan cerun.
Menurutnya, dalam tempoh itu, pengguna diminta menggunakan laluan alternatif yang akan dikeluarkan bilik gerakan. – KOSMO! ONLINE