MELAKA – Bekalan telur di Melaka disahkan berlaku kekurangan kuantiti namun tidak serius sehingga menjejaskan golongan peniaga dan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kekurangan bekalan hanyalah bagi gred C, manakala gred A dan B masih stabil.
“Kekurangan bekalan itu berlaku berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna sewaktu musim cuti sekolah dan perayaan Krismas.
“Memang bekalan telur di Melaka ada kekurangan tetapi ia tidak terlalu serius dan orang ramai atau peniaga masih boleh mendapatkan bekalan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Peringgit di sini, hari ini.
Tambahnya, meskipun begitu orang ramai masih boleh membeli telur gred D serta E yang tidak dikawal harga oleh kerajaan.
“Kita turut menantikan telur import dari India yang dijangka dapat menampung kekurangan bekalan yang berlaku di negeri ini.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri juga mengadakan banyak perbincangan dengan pihak penternak di Melaka agar dapat mengimbangi kekurangan bekalan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini KPDN tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga telur luar biasa kerana pihak peruncit dan pasar raya dilihat mematuhi harga yang telah ditetapkan. – KOSMO! ONLINE