PETALING JAYA – Tindakan pelakon jelita, Nur Risteena yang berkongsi sebuah video dalam TikTok memaparkan suaminya, Isa Khan sedang khusyuk membaca al-Quran mencuri perhatian ramai.
Dalam perkongsian video tersebut, Isa membaca al-Quran secara bertaranum sekali gus menuai pelbagai respons dan netizen yang rata-ratanya memuji bacaan pelakon itu.
“Kalau kacukan Arab memang suara sedap bila mengaji,” komen seorang pengguna TikTok.
“Terbaik, aku lebih menghormati orang yang berusaha ke arah kebaikan, berbanding orang yang rasa diri lebih baik. Allahuakbar, merdu,” tulis seorang lagi pengguna.
Bagaimanapun, dalam memuji, terdapat juga peminat yang menasihatkan pemilik nama Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 33, itu agar istiqamah dan berubah untuk menutup aurat sepenuhnya secara perlahan-lahan.
“Insya-Allah, suami sudah berada di jalan yang sepatutnya, moga isteri akan terikut sama menutup aurat dengan sebaiknya,” tulis seorang peminat.
“Moga Isa dapat bimbing Risteena ke arah yang lebih baik dan menyuruh untuk menutup aurat secara perlahan-lahan,” kata netizen lain.
Menariknya, ada juga yang mendoakan agar pasangan merpati dua sejoli itu dikurniakan cahaya mata untuk melengkapi keluarga kecil mereka.
“Mak cik doakan kalian dikurniakan zuriat secepatnya, nanti boleh mengaji sama-sama, Allah akan bagi indah pada waktunya. Gembira tengok Isa suka mengaji, kena biasakan lidah mengaji di mana sahaja,” komen seorang peminat.
Terdahulu, kedua-dua pelakon itu bergelar suami isteri pada 12 Mac 2021 selepas beberapa kali menangguhkan pernikahan gara-gara penularan wabak Covid-19.
Majlis akad nikah pasangan merpati dua sejoli itu dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. – KOSMO! ONLINE.