KUANTAN – Banjir di Pahang beransur pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 23 orang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman berkata, mangsa daripada enam keluarga di daerah Kuantan itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, Kuantan.
“Kita sedang memantau perkembangan banjir khususnya setiap kawasan di daerah ini termasuk penempatan di Sungai Ular memandangkan keadaan cuaca, iaitu hujan masih tidak menentu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Che Adam memberitahu lapan batang sungai utama di negeri ini menunjukkan trend penurunan, tetapi masih pada amaran waspada, manakala enam lagi masih di peringkat walaupun ada trend penurunan.
Ujarnya hujan masih berlaku di semua kawasan 11 buah daerah negeri dan juga ada sesetengah tempat berlaku ribut petir. – KOSMO! ONLINE