PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di tiga negeri sehingga Isnin ini.
Hujan berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di negeri Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong sehingga esok (Sabtu).
Sementara hujan lebat berterusan kategori buruk pula, hanya melibatkan Sarikei dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro), dalam tempoh sama.
Bagi hujan lebat berterusan tahap waspada, kawasan terlibat adalah di Sibu, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.
Keadaan cuaca sama turut diramalkan berlaku Sabah, iaitu di Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan sehingga Isnin ini.
Dalam perkembangan lain, amaran hujan berterusan kategori waspada (peringkat kuning) telah ditamatkan di Pahang (Kuantan) dan Johor (Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
Turut ditamatkan, hujan lebat kategori buruk (peringkat jingga) di Pahang (Pekan dan Rompin) serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi). – KOSMO! ONLINE