TELUK INTAN – Seramai 20 penumpang menempuh detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki terbabas ke dalam parit di Jalan Kuala Sungai Manik di sini pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 5.20 pagi itu berlaku ketika bas dua tingkat tersebut dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim.
Difahamkan, bas berkenaan terbabas ke parit di kanan jalan selepas melanggar sebatang tiang elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, sepasukan anggota diatur gerak ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu.
Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati kesemua penumpang bersama pemandu dan pemandu kedua bas telah keluar dari kenderaan berkenaan.
“Tiada mangsa tersepit dalam nahas itu. Kesemua mangsa telah keluar dari bas dengan sendiri.
“Pemandu bas berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan telah diberi rawatan awal dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE