PONTIAN – Dua warga emas ditemui mati lemas apabila kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dinaiki terbabas ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Kampung Sri Gambut, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.06 malam itu, kedua-dua mangsa iaitu lelaki tempatan masing-masing berusia 60-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas, Pegawai Bomba Kanan II Hairon Nizam Zainal berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota sejurus menerima panggilan kecemasan.
“Sejurus sampai di lokasi yang dilaporkan itu, pihak bomba mendapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah ATV yang dipercayai terbabas ke dalam parit jalan tersebut.
“Kedua-dua mangsa iaitu penunggang dan pembonceng ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai lemas di dalam parit berkenaan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hairon Nizam berkata, Pasukan Keluar Operasi (PKO) cuba memberi bantuan awal kepada mangsa namun tidak ada tindak balas.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi nahas.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib mengesahkan kejadian itu.-KOSMO! ONLINE