PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa aktiviti ejen memonopoli tapak perniagaan penjaja dan tapak bazar Ramadan perlu dihapuskan di seluruh negara.
Beliau berkata, aktiviti tersebut menyebabkan penjaja dan peniaga terpaksa menggunakan khidmat ejen kerana lesen diberi kepada orang lain kemudian barulah dipindah ke penjaja.
“Berapa ramai nak cari tempat perniagaan begitu susah. Saya percaya sama juga seperti pasar ramadan itu dimonopoli beberapa kalangan orang yang mahu berniaga.
“Mereka bangun pagi masak pada bulan puasa dan waktu berbuka puasa kerana perlu bayar sewa tapi bayar ejen yang monopoli tapak terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub serta 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara.
Anwar berkata, beliau mahu amalan sebegitu dihentikan di seluruh negara dan memastikan keadaan tersebut tidak menjejaskan rakyat.
“Usaha ini tidak sukar sama sekali bagi membantu penjaja dan peniaga kecil.
“Sekiranya boleh dilakukan sebahagian besar masalah boleh dileraikan kemudian kita angkat (naik taraf) tempat perniagaan lebih baik,” katanya.
Dalam perkembangan melibatkan isu Pasar Keramat di ibu negara yang tertunda, Anwar berkata, beliau sendiri akan turun menyelesaikan isu terbabit sekiranya masalah yang timbul tidak selesai segera.
“Saya mahu jelaskan sekiranya awal tahun hadapan ia tidak selesai. Saya akan turun ke Pasar keramat untuk selesaikan,”katanya. – KOSMO! ONLINE