Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Keresahan pemain industri sukan dalam dewan (indoor) yang terkesan ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hanyalah bersifat sementara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, langkah-langkah larangan aktiviti sukan kontak dan sukan berpasukan di dalam dewan tertutup di kawasan PKPB perlu dilaksanakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, ia adalah atas dasar kesihatan dan kepentingan awam buat sementara waktu untuk masyarakat sama-sama membantu negara bagi memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, katanya aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak melibatkan kontak fizikal boleh dijalankan secara individu dan di tempat terbuka terhad kepada maksimum 10 orang pada satu-satu masa.
“Saya cukup prihatin dan memahami keresahan pemain industri sukan yang terkesan akibat arahan terkini pihak kerajaan ekoran penguatkuasaan PKPB khususnya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Larangan aktiviti sukan dalam dewan ini hanyalah bersifat sementara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, sebagai menteri, beliau memberi jaminan bahawa KBS komited dalam usaha membantu industri sukan dengan kerjasama dan panduan MKN serta KKM.
“Ini supaya aktiviti sukan dan rekreasi dapat dibuka semula seperti dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebaik sahaja berakhirnya tempoh PKPB,” katanya.-K!ONLINE