fbpx

30 Tahun Generasiku, OAG nak rakam suara peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN OAG

MENCECAH tiga dekad dalam industri muzik tempatan, kumpulan rock alternatif OAG kembali mengubati kerinduan peminat yang lama menantikan kemunculan mereka.

Memeriahkan dunia hiburan dengan lagu-lagu seperti Slumber, Generasiku, Merpati Putih dan Akustatik, OAG bakal menghiburkan peminat menerusi Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku pada 25 Disember ini.

Acara yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam itu pastinya menjadi kenangan paling manis buat peminat-peminat setia OAG yang bermula sekitar 1992.

Kumpulan yang dianggotai empat ahli iaitu Radhi selaku vokalis utama, Qi Razali (pemain dram), Ammal Bellamy (gitar utama/vokal kedua) dan Nazrin Zabidi atau Yin (pemain basis), menjanjikan sebuah persembahan yang terbaik sepanjang 30 tahun dalam industri hiburan.

Vokalisnya, Radhi berkata, konsert selama dua jam setengah tersebut merupakan peluang mereka menghiburkan peminat yang selama banyak menyokong OAG.

“Kami berterima kasih kepada pihak penganjur yang memberi peluang yang sangat bermakna. Kami berharap konsert ini akan mendapat sambutan daripada peminat.

“Kami tidak akan sia-siakan peluang ini dan berjanji akan berikan yang terbaik,” ujarnya.

RADHI

Radhi juga berkata, mereka akan merakam suara peminat ketika konsert itu berlangsung untuk diabadikan dalam lagu baharu berjudul Ori.

“Kami akan membuat rakaman suara semua penonton di stadium nanti untuk dimasukkan dalam lagu Ori.

“Sebenarnya ini momen yang paling kami nantikan selama 30 tahun ini dan akan diabadikan dalam lagu baharu kami,” ujarnya.

Bercakap tentang kontroversi yang melanda dirinya sejak kebelakangan ini, Radhi mengakui risau perkara tersebut akan menjejaskan jualan tiket konsert.

Namun, Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 45, menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian dalam kehidupannya.

“Bohonglah kalau kata saya tak bimbang, tapi saya reda dengan ujian yang menimpa diri. Bagi saya setiap orang akan melalui dugaan yang berbeza.

“Saya risau dengan persepsi masyarakat khususnya peminat kami terhadap semua yang berlaku. Apapun saya hanya berserah dan terima apa juga yang orang mahu fikirkan.

QI RAZALI

“Saya akan berusaha untuk membuat persembahan yang baik dan menghiburkan pada malam tersebut. Saya janji akan ‘clean’ dan sihat pada konsert itu nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Qi Razali berkata, bukan mudah untuk mereka berkumpul semula bagi menjayakan konsert itu.

Terpaksa mengambil masa 30 tahun, kata Qi, perancangan untuk mengadakan konsert berskala besar memerlukan kerjasama banyak pihak.

“Konsert ini gabungan usaha kawan-kawan lama kami, khusus untuk peminat OAG.

“Sebenarnya susah untuk kumpulkan semua ahli terutamanya macam saya yang sudah lama tinggalkan muzik.

“Saya sudah lama bergerak sendiri dan masuk ke dunia televisyen. Alhamdulillah sudah sampai masanya saya tolak tepi semua dan fokus untuk berkumpul dengan OAG.

“Saya kena berusaha lebih keras kerana lama tidak bermain muzik. Saya perlu banyak latihan sebelum konsert berlangsung,” ujarnya.

LAMA menyepi tanpa persembahan besar-besaran, kumpulan OAG bakal menggegarkan panggung konsert 30 Tahun Generasiku di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 Disember ini. – FOTO SADDAN YUSOFF

Festival keluarga

Sementara itu, festival yang dianjurkan BSX BOX dan Kongres Muzika Malaysia akan berlangsung bermula pukul 9 pagi hingga 12 malam.

Festival Konsert OAG 30 Tahun Generasiku dianjurkan dalam konsep yang sesuai dikunjungi seisi keluarga dengan pelbagai program menarik.

Festival berkenaan boleh dihadiri sehingga 6,000 pengunjung dengan menyediakan banyak program sekitar stadium antaranya gerai jualan, pameran, pertandingan dan persembahan nyanyian.

Selain itu, pengunjung dapat menikmati pengalaman istimewa, antaranya kawasan khemah untuk rehat, Galeri OAG 30 Tahun, pameran seni dari pelukis senior tempatan, pameran motor vespa, demonstrasi papan selaju daripada Pak Din Musa dan pertandingan komuniti papan selaju.

Manakala, acara penutup festival itu pengunjung akan dihiburkan dengan Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang akan mempersembahkan rangkaian lagu popular mereka.

Tiket berharga RM168 dan VIP RM368 boleh didapati di www.oagforever.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI