BINTULU: Seorang wanita maut selepas Perodua Viva yang dipandu bersama dua remaja perempuan melanggar belakang Toyota Hilux di lampu isyarat Taman Tinggi, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata, dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 12.27 malam tadi dan segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi.
Katanya mangsa yang dikenal pasti sebagai Nur Amira Idris, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian pemandu.
“Seorang mangsa yang tersepit di bahagian pemandu telah disahkan meninggal dunia oleh paramedik Hospital Bintulu dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, katanya dua penumpang Perodua Viva terbabit yang berusia 17 tahun cedera dan telah di bawa ke Hospital Bintulu menggunakan ambulans dan jentera Unit EMRS Bomba.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
Bagaimanapun, katanya tiada maklumat diperolehi melibatkan Toyota Hilux terbabit. – KOSMO! ONLINE