fbpx

Ditahan tiga lelaki mengakui ‘polis’, Dolla cemas, rasa dicabul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOLLA berkongsi detik cemas menerusi akaun media sosialnya.

PETALING JAYA – Kumpulan penyanyi wanita terkenal Dolla berdepan situasi cemas apabila didatangi tiga lelaki yang mengakui sebagai anggota polis untuk melakukan pemeriksaan terhadap mereka.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam Twitter, Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Angel, Syasya dan Sabronzo memberitahu kejadian tersebut berlaku pada malam Selasa lalu ketika mereka sedang menunggu kenderaan untuk pulang ke rumah selepas selesai menjalani latihan menari.

Ketika berada di tepi jalan, keempat-empat anggota Dolla itu mendakwa terdapat sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna merah dinaiki tiga lelaki telah memperlahankan kereta dan memerhatikan mereka dengan pandangan menakutkan.

“Tolong beritahu kami sama ada kejadian ini adalah benar atau tidak. Kami berdepan dengan kejadian menakutkan apabila terdapat sebuah kereta Proton Saga merah dinaiki tiga lelaki telah berhenti di hadapan kami.

“Lelaki yang berada di dalam kereta itu telah memberikan pandangan yang menakutkan sehingga membuatkan kami berasa tidak selesa. Mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis, tetapi tidak memakai uniform rasmi dan memandu kereta polis,” tulisnya dalam twitter.

Ujar Dolla lagi, mereka bimbang tentang keselamatan diri jika kumpulan lelaki terbabit mempunyai niat jahat.

Lebih membimbangkan ketika ketiga-tiga lelaki itu enggan menunjukkan kad kuasa mereka namun terus menyoal pelbagai perkara, termasuk meminta setiap anggota Dolla menunjukkan kad pengenalan masing-masing.

“Ketiga-tiga lelaki itu tidak mahu menunjukkan kad kuasa mereka dan terus menyoal kami dengan pelbagai soalan termasuk mencurigai jika kami bukan warnagenara Malaysia.

“Ketiga-tiga lelaki itu telah mengambil gambar kad pengenalan kami dengan senyap tanpa memberitahu tujuannya.

“Lebih menghairankan apabila Syasya telah dimarahi dengan keras oleh salah seorang lelaki itu apabila bertanya tujuan kami disoal siasat,” jelasnya.

Bagaimanapun, nasib keempat-empat wanita itu terselamat apabila terdapat sebuah kereta berhenti berhampiran dengan tempat kejadian dan menyelamatkan mereka daripada berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Ketiga-tiga lelaki itu terus berlalu pergi tanpa sebarang penjelasan. Hak kami telah dicabuli. Kami tidak tahu sama ada situasi ini adalah benar atau sekadar penipuan. Kalau ada sesiapa pernah melalui pengalaman serupa, tolong kongsikan kepada kami,” tulis Dolla.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya menyarankan agar Dolla membuat laporan polis kerana perlakuan yang dilakukan oleh ketiga-tiga lelaki itu adalah salah.

“Tolong buat laporan polis kerana ini adalah salah. Jaga diri baik-baik,” ujar seorang pengguna Twitter.

“Jangan beri kad pengenalan selagi mereka tidak menunjukkan kad kuasa mereka,” saran seorang lagi netizen.

“Saya pernah melalui pengalaman serupa. Cuma saya bernasib baik kerana saya berani melawan. Mereka tiada hak untuk mengambil kad pengenalan kita sewenang-wenangnya,” ujar seorang lagi pengguna Twitter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI