fbpx

Banjir: Kerajaan Kelantan perlu bentang pelan perparitan kepada umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah motosikal meredah banjir yang melintasi Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Ketereh pada Isnin lalu. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan digesa membentangkan Pelan Perparitan Holistik Kelantan kepada umum dalam usaha untuk menangani masalah perparitan yang menyebabkan banjir terutamanya di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan, Mohd. Syahiran Muhammad berkata, gesaan itu dibuat agar kerajaan negeri membentangkan pelan perparitan holistik di semua daerah dengan membuat pemetaan parit, longkang dan saliran.

Menurutnya, berdasarkan pemantauan pihaknya di media sosial rasmi MPKB-BRI, hanya dua kali pembersihan longkang dan parit dilakukan dalam tempoh September sehingga Disember ini.

“Kawasan pentadbiran MPKB-BRI memerlukan penggalian dan pembersihan berkala yang lebih kerap sekali gus sesuai dengan status sebuah bandar raya Islam selain memantau saluran sistem perparitan yang tertutup akibat ditambak tanah.

“Kerajaan negeri juga disarankan menyediakan senarai semak lokasi perparitan utama beserta jarak dari satu lokasi ke satu lokasi agar rakyat dapat mengetahui lokasi perparitan yang kritikal daripada ditambak orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, saluran sistem perparitan yang tertutup selepas ditambak dengan tanah dipercayai merupakan salah satu punca kejadian banjir yang berlaku di kebanyakan kawasan, di sini.

Ujarnya, kemudahan parit telah disediakan di sesetengah kawasan, namun ia tidak dijaga dengan baik apabila ada penduduk menambak tanah di kawasan tempat tinggal sehingga menyebabkan saluran parit tertutup.

Mengulas lanjut,menurut Mohd. Syahiran, sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri menjadualkan penggalian parit dan saliran seluruh MPKB-BRI secara konsisten setiap tiga bulan dan wajib disiarkan melalui platform media sosial.

Katanya, jika dakwaan rakyat yang menambak longkang itu berasas, ABIM Kelantan menggesa agar kerajaan negeri menyenarai dan menguatkuasakan sebuah enakmen bagi mengelak situasi orang awam menambak longkang pada masa akan datang.

“Dengan cadangan Pelan Perparitan Holistik Kelantan, diharapkan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat Kelantan dan mengelakkan banjir akibat saluran perparitan tersumbat berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI