KEMAMAN – Belum reda banjir gelombang pertama yang mencetuskan bencana besar khususnya di Pantai Timur sejak Ahad lalu, amaran gelombang kedua bah telah dikeluarkan mulai hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), luruan hujan yang membawa risiko banjir bakal melanda negara sekali lagi hingga Rabu depan.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan telah mengarahkan semua agensi terlibat terus bersiap siaga menghadapi gelombang kedua banjir tersebut walaupun trend banjir terkini menunjukkan penurunan.
“Saya telah memberitahu setiausaha kerajaan negeri-negeri agar sentiasa bersiap siaga di daerah-daerah.
“Berdasarkan nasihat MetMalaysia, pemindahan (penduduk terlibat) perlu dilakukan (segera) di pusat pemindahan sementara (PPS) ditetapkan,” katanya selepas memantau perkembangan banjir di Kampung Bukit Mentok, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Kabinet juga telah mengarahkan Kementerian Pertahanan memobiliti aset-aset penting seperti trak dan lori 10 tan ke atas ke depoh bekalan di negeri-negeri berisiko tinggi banjir berkuatkuasa hari ini.
Jelas beliau, ia sebagai penyelesaian masalah logistik yang mengganggu operasi penyelamat dan penghantaran bantuan makanan kepada mangsa banjir khusunya di kawasan terputus hubungan sebelum ini.
“Kementerian Pertahanan telah diminta memobilisasikan trak di depoh-depoh bekalan supaya dapat digerakkan di kawasan-kawasan yang sedia mengalami banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE