PETALING JAYA – Banjir kilat dijangka melanda enam negeri iaitu Johor, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah, dalam tempoh 24 jam jika berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan.
Menerusi lapopran Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kawasan terlibat di Johor ialah Kota Tinggi sekitar Sedili Kechil dan Ulu sungai Sedili Besar, Muar (Bandar, Bandar Maharani dan Jalan Bakri) serta Mersing (Bandar Padang Endau).
Selain itu, tiga daerah di Pahang seperti Kuantan sekitar Bandar Kuantan, Hulu Kuantan, Kuala Kuantan, Pulau Manis dan Sungai Karang, Maran (Pekan) serta Pekan (Bebar, Pekan dan Langgar), berisiko dilanda banjir kilat, hari ini.
Sementara itu, di Perak dua daerah dan kawasan sekitar yang dijangka terjejas adalah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat) dan Hilir Perak (Durian Sebatang) manakala di Selangor membabitkan Klang.
“Bagi Terengganu pula, kawasan diramal terjejas adalah Marang (Bukit Payung) dan Kuala Terengganu (Batu Buruk, Chendering dan Kuala Terengganu) manakala di Sabah ialah Tuaran (Kampung Berungis dan Pekan Tenghilan).
“Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan kemungkinan berlaku banjir kilat dalam tempoh 24 jam, hari ini,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya mengingatkan orang ramai terutama penduduk di enam negeri terbabit untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan patuhi segala arahan semasa pihak berkuasa.
“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir. Sila layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE