SUNGAI BULOH- Mayat kanak-kanak perempuan, mangsa ke-25 dalam tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali-Genting Highlands, dituntut oleh waris, pagi ini.
Kenderaan yang membawa mangsa berkenaan dilihat keluar dari pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, kira-kira pukul 8.33 pagi.
Sehubungan itu, difahamkan mangsa akan dibawa bersama tiga ahli keluarganya yang turut maut dalam tragedi tersebut, ke Melaka.
Bagaimanapun, pihak media tidak menerima maklumat lebih terperinci berkenaan perkara itu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mangsa terbabit ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 11.20 malam semalam.
Setakat ini, mangsa yang hilang berbaki tujuh orang manakala 26 orang terkorban dalam tragedi tersebut. -KOSMO! ONLINE.