fbpx

Banjir: Mangsa di Kelantan berkurang 1,946 orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Jejulok, Tumpat berpindah ke PPS apabila kampung mereka baru dinaiki air, semalam. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan kepada 30,143 orang berbanding seramai 32,089 orang mangsa pagi ini, susulan cuaca di kebanyakan daerah semakin baik sejak semalam.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 1,946 mangsa.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 9,200 buah keluarga yang berlindung di 119 pusat pemindahan sementara (PPS) dan angka itu menunjukkan penurunan apabila 9,542 keluarga berlindung di 135 PPS, semalam.

“Daerah Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 13,899 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,887 mangsa), Tumpat (4,624 mangsa) dan Bachok (1,693 mangsa).

“Seramai 1,446 mangsa banjir di Kuala Krai, Kota Bharu (1,501) Tanah Merah (765 mangsa), Machang (130 mangsa) dan Jeli (198 mangsa). Gua Musang masih kekal apabila tiada mangsa dicatatkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, sebentar tadi.

Menurut Mohd. Hanif, air Sungai Kelantan di Tangga Krai menunjukkan peningkatan dan berada pada paras amaran manakala di Tambatan Diraja, Kota Bharu, dalam keadaan berjaga-jaga.

Katanya, paras air Sungai Golok di Jenob, Rantau Panjang dan Kuala Jambu mencatatkan penurunan, namun masih menunjukkan paras bahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI