TAMPIN – Mayat reput dipercayai wanita warga emas ditemukan dalam kebun kelapa sawit Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, mayat yang hanya tinggal rangka tulang berkenaan ditemukan oleh seorang pengembala lembu di dalam kebun peringkat 3 felda berkenaan.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat tersebut sekitar pukul 5.30 petang dari anggota Pondok Polis Felda Sungai Kelamah yang telah dimaklumkan penduduk mengenai penemuan rangka di dalam kebun.
“Hasil siasatan dan pengecaman yang dibuat oleh anak mangsa berdasarkan pakaian yang ditemukan bersama rangka tersebut dipercayai merupakan ibunya, Aliah Omar, 74, yang dilaporkan hilang pada 7 Disember lalu.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin bagi menunggu tarikh bedah siasat dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE