TEKA-TEKI berhubung ketua jurulatih baharu skuad beregu campuran kebangsaan akhirnya terjawab selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Nova Widianto yang merupakan juara dunia dua kali.
Nova yang memenangi gelaran dunia beregu campuran bersama Liliyana Natsir pada 2005 dan 2007 dianggap sebagai pemain terbaik serta pakar dalam acara tersebut ketika era kegemilangannya.
Jurulatih dari Indonesia itu sah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama badan induk sukan badminton negara dan akan bekerjasama dengan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
“Pemain-pemain beregu campuran negara sangat gembira dan teruja dengan prospek berada di bawah bimbingan seorang jurulatih yang berkaliber seperti Nova. Saya yakin beliau akan melakukan yang terbaik bagi membantu pemain.
“Pengalaman serta pengetahuan dimiliki Nova akan menjadi aset paling berharga buat pemain-pemain beregu campuran, terutamanya menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang bermula tahun depan,” kata Rexy.
Terdahulu, BAM dikatakan mengadakan rundingan dengan beberapa jurulatih termasuk Nova dan Tony Gunawan, namun segala persoalan itu akhirnya terlerai dengan Nova bakal melaporkan diri bulan depan.
Untuk rekod, jawatan ketua jurulatih beregu campuran ditinggalkan kosong hampir lapan bulan selepas pengendali sebelum ini, Paulus Firman meninggalkan BAM, April lalu bagi meluangkan masa bersama keluarga.
Kemasukan Nova diharap dapat membantu skuad kebangsaan melahirkan lebih ramai beregu campuran berkaliber selepas beberapa pemain mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ dan bergerak secara profesional.