fbpx

Piala AFF: Harimau Malaya langkah kanan atasi Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAISAL Halim (no. 7) terus mempamerkan aksi konsisten apabila berjaya menghasilkan jaringan dalam tiga perlawanan terakhir Harimau Malaya.

YANGON – Penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Faisal Halim muncul wira buat Harimau Malaya untuk menewaskan Myanmar 1-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Stadium Thuwunna sebentar tadi.

Walaupun mampu membawa pulang tiga mata dari bumi Yangon, pengendali negara, Kim Pan Gon pastinya menjadi individu paling lega dan prestasi dipamerkan sepanjang 90 minit nyata masih perlu diperbaiki sebelum meneruskan baki saingan selepas ini.

Permainan agak seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan menyaksikan tuan rumah terlebih dulu berjaya cipta situasi cemas buat Malaysia sebaliknya keadaan kelam kabut dalam kotak penalti pada minit ke-21 berjaya diatasi dengan sempurna oleh pertahanan negara.

Seterusnya, Harimau Malaya memperoleh dua peluang terbaik sebaliknya kesempatan pada minit ke-25 dan minit ke-42 itu gagal diterjemahkan dengan jaringan oleh Faisal.

Sebaik memasuki masa kecederaan babak pertama, Malaysia terpaksa melupakan khidmat Ahmad Khuzaimi Piee dan tempat pertahanan baharu Selangor itu digantikan oleh Fazly Mazlan.

Harimau Malaya memulakan babak kedua dengan agak sempurna apabila hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka jaringan menerusi Faisal yang begitu tenang melakukan penyudah selepas menerima hantaran menarik daripada Safawi Rasid.

Tersentak dengan jaringan itu, Myanmar yang enggan dimalukan di gelanggang sendiri tampil lebih garang dan di penghujung permainan, pemain gantiannya, Win Naing Tun mempersiakan peluang keemasan apabila sepakan penalti diambilnya berjaya dinafikan oleh Ahmad Syihan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI