LONDON – Sebuah rumah sempit memiliki ukuran panjang 3.2 meter (m) dan lebar 2.6m atau menyamai saiz sebuah bilik mandi, diiklan untuk dijual pada harga £250,000 (RM1.3 juta) baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Kediaman unik itu terletak di bandar Tadcaster, Yorkshire Utara, England.
Rumah itu dibina di pintu masuk Taman Grimston yang menempatkan sebuah banglo bercirikan seni bina desa Inggeris.
Walaupun kecil, rumah itu dilengkapi dengan ruang tamu, dapur dan bilik air yang terletak di aras bawah tanah selain bilik persalinan serta katil di tingkat atas.
Ejen hartanah, Rachel Macpherson berkata, kediaman tersebut milik sepasang suami isteri yang menetap di situ selama 14 tahun.
“Walaupun kecil, rumah ini memiliki laman besar untuk pelbagai aktiviti serta tempat letak kereta yang boleh memuatkan dua buah kenderaan.
“Pemandangan di kawasan ini juga cantik dan menenangkan dengan deretan pokok di tebing Sungai Wharfe,” katanya.
Tambah Macpherson, rumah tersebut tidak sesuai dihuni oleh keluarga yang mempunyai anak, sebaliknya ia lebih kepada penginapan untuk seorang atau dua individu.
“Pemilik rumah ini membuat keputusan berpindah kerana ingin mencari kediaman yang lebih luas.
“Kediaman ini sangat sesuai untuk dijadikan rumah kedua bagi mereka yang mahu berjauhan daripada kesibukan kota,” katanya. – Agensi