LEBIH kurang sebulan sahaja lagi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 akan membuka tirainya di Arena Axiata, Bukit Jalil dengan taraf kejohanan dinaikkan ke Jelajah Dunia Super 1000.
Sudah pasti prestij Terbuka Malaysia semakin meningkat memandangkan semua pemain yang berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dijangka akan membuat penampilan pada kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, terdapat sebahagian besar peminat sukan raket itu menyatakan rasa tidak puas hati apabila tiket yang dijual pada penganjuran kali ini lebih mahal jika dibandingkan dengan harga terdahulu.
Bagi penulis, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pasti ada alasan tersendiri mengapa harga tiket bagi Terbuka Malaysia 2023 dijual lebih tinggi daripada sebelum ini, lebih-lebih lagi kejohanan itu sudah dinaikkan taraf ke Jelajah Dunia Super 1000.
Apa yang pasti, kejohanan itu dijangka berlangsung lebih meriah berbanding penganjuran tahun ini memandangkan BAM sudah memberi jaminan akan memberikan yang terbaik demi kepuasan peminat-peminat badminton.
Pada masa sama, bukan sahaja Terbuka Malaysia itu yang menjadi tarikan, malah penyertaan pemain-pemain negara tidak kira yang berada di bawah naungan BAM mahupun profesional mampu menarik kehadiran penonton ke stadium.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh pernah menjawab isu kenaikan harga tiket sebelum ini dan beliau percaya, edisi 2023 ini mampu menjadi detik yang tidak boleh dilupakan oleh semua peminat.
“Seperti semua orang tahu kejohanan kali ini merupakan acara yang bertaraf Super 1000 atau dalam erti kata lain, ia boleh dianggap sebagai Grand Slam bagi sukan badminton, sama seperti tenis.
“Kami (BAM) akan cuba yang terbaik bagi memastikan peminat dapat pengalaman menggembirakan dan dapat dijadikan sebagai memori yang tidak boleh dilupakan buat selama-lamanya,” jelasnya.
Seperti semua orang tahu, edisi 2022 boleh dianggap antara penganjuran Terbuka Malaysia paling berjaya apabila stadium sentiasa dipenuhi dengan penonton sejak pusingan pertama hingga ke perlawanan akhir.
Justeru, Petronas sebagai penaja utama kejohanan pastinya sudah mempunyai perancangan tersendiri bagaimana untuk memberi kepuasan kepada semua penonton yang hadir sepanjang saingan berlangsung pada 10 hingga 15 Januari nanti.
Ketua Pegawai Operasi (COO) Purple League, Ho Khek Mong turut tampil mempertahankan kenaikan harga tiket kerana beliau berpendapat caj berkenaan berbaloi dengan status Terbuka Malaysia sebagai Jelajah Dunia Super 1000.
“Bagaimana ia boleh dianggap mahal jika dibandingkan dengan persembahan hiburan? Pemain-pemain badminton merupakan atlet yang sentiasa bekerja keras dalam latihan pada setiap hari dan lebih-lebih lagi ini adalah kejohanan Super 1000.
“Apakah anda menjangkakan untuk bayar hanya RM10 untuk menyaksikan juara Sukan Olimpik beraksi di depan mata? Saya harap semua peminat menghargai penat lelah mereka selama ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, penulis berpendapat, harga tiket yang ditawarkan agak berbaloi memandangkan peminat-peminat dapat menyaksikan perlawanan badminton berkelas dunia menerusi pemain-pemain seperti Viktor Axelsen, Lee Zii Jia, Akane Yamaguchi, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. -KOSMO! ONLINE