BANJIR besar yang meragut banyak nyawa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit tahun lepas masih segar dalam ingatan. Trauma dan kesedihan kehilangan banyak harta benda dan insan tersayang masih terasa sehingga hari ini.
Tahun lepas boleh dikatakan kita mengalami ‘banjir terkejut’ apabila rata-rata mangsa tidak dapat ‘menghidu’ bah berkenaan, bangun sahaja tidur rumah hampir tenggelam, perabot terapung, malah jalan raya utama pula lumpuh.
Kawasan rumah-rumah di taman perumahan sama ada kos sederhana mahu pun rendah yang tidak pernah dilanda banjir sejak 50 tahun turut menjadi mangsa bah selepas hujan tidak berhenti selama dua hari.
Selain itu, banjir besar dan terburuk itu juga menyebabkan bekalan makanan terjejas dan pengedaran surat khabar utama negara juga turut terpalit apabila Lebuh Raya Pantai Timur tidak boleh dilalui ekoran situasi itu.
Rentetan daripada bah berkenaan, setiap hari media arus perdana menyiarkan laporan berhubung punca, cara mengatasi dan sebagainya.
Malah, pemerintah negara juga teruk dikecam kerana dianggap lambat memberi bantuan segera kepada rakyat terjejas banjir sehingga ada tagline ‘rakyat jaga rakyat’.
Orang ramai selepas itu juga semakin ambil peduli soal ramalan cuaca harian sehinggakan di laman web Kosmo! Online, laporan mengenai keadaan cuaca paling dibaca setiap hari.
Penulis beranggapan kejadian tahun lalu dijadikan pengajaran berguna kepada semua pihak dalam mengatasi masalah bah termasuk penyelenggaraan parit, mendalamkan sungai dan sebagainya.
Bagaimanapun, tanggapan penulis meleset apabila kejadian banjir yang sedang berlaku di Pantai Timur sekarang ini, isu perparitan masih dipersalahkan.
Menurut kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang disiarkan media kelmarin menegaskan, selain hujan lebat, isu perparitan turut dilihat sebagai punca berlaku bencana banjir luar biasa kali ini.
Mohd. Amar mengulas perparitan yang tertutup selepas ditambak dengan tanah dipercayai merupakan salah satu punca kejadian banjir.
Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan untuk menyediakan parit, saliran dan longkang dikawasan tertentu tetapi belum dimulakan kerana sudah memasuki hujung tahun. Kebiasaannya kerajaan tidak mengeluarkan kelulusan atau kontrak dalam tempoh ini.
Ramai tepuk dahi baca kenyataan itu, bertabahlah orang Kelantan. Penulis tidak mahu ulas lebih, pilihan dibuat rakyat negeri itu sendiri.
Orang Selangor pula ada yang bertanya khabar, apa cerita projek RM500 juta Sungai Klang tahun lalu.
Sudah setahun berlalu, hujan lebat dua jam sahaja mampu membuatkan penduduk Shah Alam berdebar, ramai-ramai alihkan kereta ke tempat tinggi. Berapa tahun kena hidup dalam trauma begini.
Sama-sama kita doakan banjir besar tahun lepas tidak berulang lagi di Shah Alam, trauma, masih terasa sampai hari ini setiap kali hujan lebat turun. -KOSMO! ONLINE