fbpx

Dalang, ahli ‘Kumpulan Jason’ ditangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkipli (duduk, tengah) pada sidang akhbar kejayaan tangkapan dalang serta beberapa ahli 'Kumpulan Jason' di IPD Sibu, hari ini.

SIBU – Sindiket membeli dan menyewa kad pengeluaran wang automatik (ATM) untuk menjalankan kegiatan ‘scammer’ di sini tumpas apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjaya menangkap dalang serta beberapa ahli sindiket dikenali sebagai Kumpulan Jason.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalang sindiket yang dikenali sebagai Jason @ Ah Long berusia dalam lingkungan 20-an, berjaya ditangkap oleh Bahagian Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu semalam.

Katanya, ia susulan tangkapan pertama melibatkan dua lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an yang dipercayai ahli sindiket berkenaan pada 14 Disember lalu hasil daripada risikan yang dijalankan sejak Jun lalu.

“Kumpulan ini bergiat aktif dalam menjalankan kegiatan membeli dan menyewa kad ATM, yang telah digunakan dalam beberapa kes penipuan dalam talian sebelum ini,” katanya pada sidang media di IPD Sibu, hari ini.

Beliau menambah hasil tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek turut berjaya merampas 13 keping kad ATM yang bakal dihantar kepada sindiket, 16 keping kad sim, sekeping kad pengenalan atas nama seorang wanita, enam unit telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Axia.

Katanya, hasil semakan di dalam telefon bimbit yang dirampas dan semakan melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS) mendapati 11 akaun bank lain yang telah disewa terlibat dengan sembilan kes yang telah dibuka kertas siasatan, melibatkan jumlah kerugian mencecah RM 175,013.99.

Menjelas lanjut, Zulkipli berkata, dalang sindiket akan merekrut ejen dalam kalangan orang tempatan untuk mencari individu yang berminat untuk menyewa atau menjual akaun bank pada kadar RM400 hingga RM500 bergantung kepada jenis akaun dan bank.

“Siasatan awal mendapati kad ATM yang diterima terlibat dengan kegiatan penipuan dalam talian seperti pinjaman tidak wujud, e-Dagang, Macau Scam dan tipu tawaran pekerjaan sambilan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menyerahkan atau memberikan maklumat akaun kepada mana-mana pihak bagi mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang.

“Ini akan mendatangkan lebih banyak masalah dan kemudaratan daripada penyelesaian,” katanya.

Zulkipli berkata untuk sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh membuat semakan di balai polis terdekat atau melalui http://semakmuke.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03-26101559/03- 26101599, Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI