fbpx

Pantai Puteri hilang seri, daya tarikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISA pokok-pokok ru yang ditebang dilonggokkan di sekitar Pantai Puteri, Melaka semalam.

MELAKA – Tindakan membiarkan longgokan sisa pokok-pokok yang ditebang di pesisir Pantai Puteri di sini, didakwa bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan pendapatan peniaga apabila kehadiran pe­ngunjung semakin berkurangan.

Tinjauan Kosmo! di lokasi tersebut mendapati, lebih 20 batang pokok ru yang ditebang telah dilonggokkan di pesisir pantai sehingga daunnya kekeringan.

Pokok-pokok ru tersebut ditebang bagi mengelak kejadian seorang bayi berusia 1 tahun maut selepas dihempap sebatang pokok tersebut ketika sedang berkelah bersama keluarga di pantai itu pada bulan lalu.

Seorang peniaga, Halila Zainal, 51, berkata, sisa pokok itu telah dibiarkan hampir sebulan sehingga menyebabkan pengunjung tidak dapat berekreasi di kawasan tersebut.

“Tidak tahulah sampai bila akan dibersihkan kerana sudah hampir sebulan terbiar.

“Macam mana pengunjung nak bersantai, memang sekarang ini sudah tiada orang sangat di sini dan pantai ini pula bertukar menjadi panas selepas pokok-pokok ru ditebang.

“Beberapa gerai jualan makanan gorengan seperti sosej dan nuget juga terpaksa menutup operasi sejak minggu lalu kerana kekurangan pelanggan,” katanya ketika ditemui semalam.

KERATAN akhbar Kosmo! 14 November lalu.

Seorang lagi peniaga, Mahat Jantan, 65, memberitahu, pendapatannya terjejas hampir 50 peratus sejak tiga minggu lalu.

“Kami minta kepada pihak terlibat untuk tidak terus tebang pokok ini, sepatutnya dicantas sahaja, bukan dipotong habis.

“Sekarang ini sudah tiada siapa­ mahu bersantai di sini ke­rana terlalu panas, sudah hilang daya tarikan,” ujarnya.

Bagi seorang nelayan yang ingin dikenali sebagai Majid, 56, berkata, beberapa pokok ditebang telah tumbang ke dalam laut menyebabkannya nelayan sukar menurunkan sampan dan air laut menjadi kotor.

“Kawasan tempat kami mencari geragau juga terjejas apabila air kotor, memang susah untuk mendapat hasil,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI