fbpx

‘Mata biru macam anak orang Russia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIYYAD YUSUF (kanan) dan adiknya, ZINNIRA YASMEEN sering menjadi tumpuan orang ramai kerana memiliki sepasang mata yang cantik dan berwarna biru.

PETALING JAYA – Memiliki mata berwarna biru dan unik serta seakan-akan memakai kanta lekap menyebabkan dua beradik menjadi tumpuan di media sosial sehingga ke luar negara.

Ziyyad Yusuf Muhammad Zulkarnain, 5, dan adik perempuannya, Zinnira Yasmeen, 3, dianugerahkan sepasang anak mata berwarna biru sejak dilahirkan dan dikatakan diwarisi daripada ibu mereka, Siti Nur Rashidah Mustapa Kamil, 32.

Melalui satu hantaran video di akaun Instagram @zulkarnainrosli mendapat sebanyak 4.5 juta tanda suka selain menerima komen daripada rakyat Malaysia serta pengguna dari luar negara.

Menurut bapa kepada dua beradik itu, Muhammad Zulkarnain Rosli, 32, anak-anaknya menjadi tumpuan sejak kecil apabila mereka sekeluarga makan di luar.

“Sewaktu mereka masih kecil, kami sering makan di luar dan ramai juga yang bertindak menegur dan menyapa kami.

“Sehingga adakalanya berasa tidak selesa apabila ada yang bertindak memegang dan bergambar bersama anak-anak tetapi, ia masih terkawal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Muhammad Zulkarnain merupakan seorang penolong pengurus mekanikal sebuah syarikat, manakala isterinya adalah doktor gigi di Hospital Selayang.

Ujarnya, warna anak mata dua beradik itu sama de­ngan ibu mereka.

“Isteri saya yang berasal dari Terengganu juga mempunyai anak mata berwarna biru dan ia adalah dikatakan faktor genetik daripada arwah bapanya. Hanya saya yang tidak memiliki kele­bihan itu,” ujar Zulkarnain berseloroh dan berasal dari Melaka.

MUHAMMAD ZULKARNAIN bersama Siti Nur Rashidah dan dua anak mereka yang kerap menjadi tumpuan orang ramai ketika berada di luar rumah.

Katanya, selain itu, dua anak­nya juga menyedari keadaan mata mereka yang berbeza daripada orang lain, namun rakan-rakan mereka tidak bermasalah dengan perbezaan itu.

Jelasnya, sebelum ini ada sesetengah pihak yang beranggapan bahawa mereka pelik dan mempersoalkan sama ada anak mereka normal atau sebaliknya.

“Alhamdulillah, anak kami sihat dan normal sama seperti kanak-kanak biasa di luar sana dan juga cekap dalam pelajaran.

“Pernah sekali, kami tidak mahu berkongsi mengenai mereka kerana takut penerimaan orang lain selain bimbang kami sendiri tidak boleh terima perkara itu.

“Namun, akhirnya kami rasa ini adalah ciptaan Allah yang patut disyukuri. Hebat sungguh ciptaan-Nya dan ia membuatkan saya serta isteri berasa gembira dan bersyukur setiap hari,” katanya yang mengakui dia dan isteri gembira dengan tumpuan diterima dua anak. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI