fbpx

Banjir: 719 mangsa di Kelantan sudah pulang ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua wanita mangsa banjir mengharung air bah di Lubok Jong, Pasir Mas hari ini. - Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan mencatatkan penurunan kepada 30,597 orang berbanding seramai 31,316 orang mangsa pagi tadi susulan cuaca di kebanyakan daerah semakin baik hari ini.

Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 719 mangsa.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 8,774 buah keluarga yang berlindung di 134 pusat pemindahan sementara (PPS) dan angka itu mencatatkan penurunan apabila 9,006 keluarga berlindung di 139 PPS pagi tadi.

“Bagaimanapun, Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 12,028 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,878 mangsa), Tumpat (4,131 mangsa) dan Kota Bharu (4,284 mangsa).

“Seramai 2,180 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (849 mangsa), Machang (303 mangsa), Bachok (1,672 mangsa). Tiga PPS di Jeli yang menempatkan seramai 420 mangsa kelmarin telah ditutup sepenuhnya semalam. Selain itu, daerah Gua Musang masih selamat apabila tiada mangsa banjir dicatatkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Hanif, air Sungai Kelantan di Tangga Krai menunjukkan penurunan, namun masih berada pada paras amaran manakala di Tambatan Diraja, Kota Bharu dalam keadaan berjaga-jaga.

Katanya, paras air Sungai Golok di Jenob ketika ini mencatatkan bacaan berjaga-jaga manakala di Rantau Panjang dan Kuala Jambu meningkat dam masih berada pada paras bahaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI