fbpx

China, Russia mulakan latihan tentera laut bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan tentera China dan Russia mengadakan latihan ketenteraan di Laut China Timur pada Oktober tahun lalu. - Getty Images

MOSCOW – Beijing dan Moscow memulakan latihan tentera laut bersama selama seminggu di Laut China Timur semalam, demikian menurut Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan seperti dilaporkan stesen penyiaran CNN semalam.

Latihan ketenteraan itu diadakan ketika kedua-dua negara meningkatkan kerjasama di Pasifik barat yang kini semakin tegang.

“Bahagian aktif latihan itu termasuk peluru berpandu bersama dan tembakan artileri terhadap sasaran udara, tembakan artileri ke atas sasaran laut dan tindakan antikapal selam bersama dengan penggunaan senjata praktikal,” kata kenyataan Russia.

Latihan digelar Maritime Cooperation 2022 atau Kerjasama Maritim 2022 itu akan menampilkan kapal induk Armada Pasifik Russia iaitu sebuah kapal pelancar peluru berpandu, Varyag, sebuah kapal perang frigat dan dua kapal perang kecil atau korvet, kata kenyataan yang sama.

Tambahnya, Tentera Laut China akan menghantar dua kapal pemusnah, dua kapal peronda, sebuah kapal bekalan serbaguna dan sebuah kapal selam diesel serta pesawat-pesawat miliknya.

“Tujuan utama latihan itu adalah untuk mengukuhkan kerjasama tentera laut antara Persekutuan Russia dan Republik Rakyat China serta untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan di rantau Asia Pasifik,” kata kenyataan tersebut. 

China setakat ini enggan mengutuk secara terang-terangan bagi serangan Russia ke atas Ukraine yang bermula sejak Februari lalu, namun pada masa sama ia meningkatkan bantuan ekonomi kepada negara jirannya itu.

Beijing turut meningkatkan perdagangan dua hala dengan Rusia di tengah-tengah sekatan Barat yang dikenakan ke atas Moscow berikutan perang Ukraine. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI