NEW DELHI – Menteri Luar India, S. Jaishankar mengumumkan bahawa ia meningkatkan pengerahan tenteranya di sepanjang sempadan dengan China yang bergolak ke tahap yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Menurut beliau, New Delhi tidak akan membiarkan Beijing mengubah secara unilateral status quo (keadaan sedia ada) di sempadan melibatkan kedua-dua negara di Himalaya.
“Hari ini (Isnin), kami menempatkan sejumlah besar tentera India di sempadan China yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini.
“Ia dilakukan untuk menentang pencerobohan China. Tentera India dikerahkan untuk menentang sebarang percubaan untuk menukar Garisan Kawalan Sebenar (LAC) secara unilateral,” kata Jaishankar.
Komen itu dibuat beberapa hari selepas tentera India dan China bertempur di kawasan yang menjadi pertikaian di sepanjang sempadan di negeri Arunachal Pradesh.
New Delhi mendakwa pertempuran itu bermula disebabkan pencerobohan oleh tentera China namun, Beijing menyatakan bahawa keadaan di sempadan tersebut secara umumnya stabil selain kedua-dua pihak mengekalkan dialog mengenai isu berkenaan.
Kedua-dua negara berkongsi sempadan ‘de facto’ sepanjang 3,440 kilometer (km) yang menjadi pertikaian dan digelar LAC dengan askar-askar China serta India ‘bersemuka’ di kebanyakan tempat.
Ketegangan di kawasan itu kadangkala meningkat menjadi pertempuran antara askar kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak cuba meredakan ketegangan sejak pertempuran ganas berlaku pada Jun 2020 di Lembah Galwan, wilayah Ladakh, terletak lebih jauh ke barat. Seramai 20 askar India dan sekurang-kurangnya empat tentera China maut dalam pertempuran itu.
Namun, serangan terbaharu dan yang pertama dalam tempoh lebih setahun berlaku pada 9 Disember lalu, mengakibatkan sejumlah askar India dan China mengalami kecederaan.
Kedua-dua pihak kemudian menghentikan pertempuran di kawasan itu, kata tentera India.
Pertembungan terbaharu itu telah membawa kepada kekecohan politik di India pada minggu lalu dengan parti pembangkang bertindak keluar dari Parlimen selepas tuntutan untuk perbincangan segera mengenai situasi di sempadan ditolak.
Pemimpin parti Kongres, Rahul Gandhi yang merupakan pembangkang utama India, menuduh kerajaan mengabaikan ancaman dari China dan mendakwa bahawa tentera negara itu ‘membelasah’ askar India di sempadan.
Bercakap di Parlimen pada Isnin, Jaishankar berkata, kata-kata Rahul itu dilihat tidak menghormati tentera India dan menafikan bahawa kerajaan tidak ambil peduli dengan keadaan tersebut.
“Jika kita bersikap tidak acuh terhadap China, siapakah yang menghantar tentera India ke sempadan? Jika kita acuh tidak acuh dengan China, mengapa kita menekan Beijing untuk meredakan keadaan dan pengundurannya (askar-askar China)?” katanya. – AGENSI