IPOH – Seluas 7,872.71 hektar daripada 2,097,600 hektar keluasan tanah di negeri Perak diceroboh dengan aktiviti pembinaan kediaman, pertanian, penternakan dan perusahaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, berdasarkan statistik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Perak, jumlah tersebut yang bersamaan dengan 0.38 peratus merupakan keluasan yang diceroboh setakat Disember tahun ini.
Menurutnya, aktiviti pertanian mencatatkan pencerobohan tertinggi seluas 7,307.59 hektar tanah atau 92.82 peratus manakala seluas 400.09 hektar tanah digunakan secara tidak sah untuk aktiviti penternakan dan perusahaan.
“Baki 165.03 hektar digunakan untuk tujuan pembangunan kediaman iaitu petempatan setinggan. Pihak berkuasa negeri telah mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu ini dengan menubuhkan Jawatankuasa Usaha Haram dan Setinggan Negeri Perak.
“Jawatankuasa ini akan bersidang setiap suku tahun bagi memantau dan mengenal pasti aktiviti haram dan setinggan di atas tanah milik kerajaan negeri.
“Ia juga akan melaksanakan tindakan-tindakan punitif bagi membanteras aktiviti pencerobohan tanah ini daripada terus berleluasa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menurut Saarani, terdapat juga dasar penyelesaian pendudukan setinggan kediaman di atas tanah kerajaan yang telah diluluskan dalam MMK Bil. 2048 bertarikh 10 November 2021.
Jelasnya, ia akan dilaksanakan melalui beberapa kaedah pelupusan tanah seperti pemberi milikan tanah kerajaan, pajakan tanah rizab dan pemberian Lesen Pendudukan Sementara serta perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828).
“Dasar itu memperuntukan tempoh pelaksanaan penyelesaian petempatan setinggan dalam tempoh lima tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE