fbpx

Ambulans terbalik dalam perjalanan bawa pesakit ke HPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian ambulans terbalik di Jalan Masjid Negeri, George Town pada petang semalam.

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan insiden melibatkan sebuah ambulans terbalik di Jalan Masjid Negeri di sini petang semalam, semasa dalam perjalanan menghantar pesakit ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu mengakibatkan pemandu berusia 22 tahun, pembantu perubatan, 28, pesakit wanita, 54, dan anak perempuannya, 24, mengalami kecederaan antaranya pada kepala, muka dan beberapa bahagian badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu ambulans dan pembantu perubatan sedang dalam perjalanan dari Sungai Ara selepas mengambil pesakit dan anak perempuannya untuk dibawa ke HPP.

“Apabila menghampiri Jalan Masjid Negeri (menghala ke Jalan Scotland), pemandu ambulans hilang kawalan menyebabkan ambulans terbabas melanggar pembahagi jalan dan sebatang pokok di sebelah kanan jalan lalu terbalik.

“Pemandu ambulans, pesakit dan anak perempuannya tersepit di tempat duduk dan selamat dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya di sini hari ini.

Keadaan mangsa dipercayai anak kepada pesakit dalam kejadian ambulans terbalik.

Saravanan berkata, pemandu ambulans itu mengalami kecederaan pada tangan dan kepala manakala pembantu perubatan cedera ringan pada muka dan tangan.

”Pesakit pula mengalami kecederaan pada kepala manakala anak perempuannya pula cedera pada kepala dan muka,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan sebuah ambulans St. John dipercayai membawa pesakit dilaporkan terbabas lalu terbalik ketika menghala ke pusat bandar.

Kemalangan yang berlaku ketika waktu kemuncak itu turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI