KOTA BHARU – Mangsa banjir di Kelantan terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 31,316 orang mangsa ditempatkan di 139 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah setakat semalam.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, jumlah itu membabitkan sebanyak 9,006 keluarga yang berlindung di PPS.
Menurutnya, Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 11,749 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,875 mangsa), Tumpat (4,131 mangsa) dan Kota Bharu (4,074 mangsa).
“Seramai 2,618 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (902 mangsa), Machang (373 mangsa), Bachok (1,154 mangsa).
“Tiga PPS di Jeli yang menempatkan seramai 420 mangsa kelmarin telah ditutup sepenuhnya semalam. Selain itu, daerah Gua Musang masih selamat apabila tiada mangsa banjir dicatatkan setakat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, air Sungai Kelantan di Tangga Krai menunjukkan penurunan, namun masih berada pada paras amaran manakala di Tambatan Diraja, Kota Bharu dalam keadaan berjaga-jaga.
Katanya, paras air Sungai Golok di Jenob, Rantau Panjang dan Kuala Jambu menurun hari ini, tetapi masih berada pada paras bahaya. – KOSMO! ONLINE